The Real Torrent Search...powered by GOOGLE

Isnin, September 24, 2007

Etika Memblog Part 3 : Menulis Blog Anda

Assalamualaikum Semua, bertemu lagi kita di siri ketiga dalam Etika Memblog.

Untuk siri kali ini, aku akan mendedahkan cara bagaimana anda boleh mendekati audiens anda dengan lebih berkesan melalui segi penulisan blog yang lebih efektif dan mantap. Untuk pengetahuan anda semua, sesebuah blog yang baik akan mempunyai ciri-ciri berikut :-

  1. Karangan yang baik dan mudah difahami
  2. Skop penulisan yang mendalam
  3. Kritikan/Pandangan disampaikan secara telus
  4. Tulisan tidak menyinggung ramai pihak

4 ciri berikut merupakan kekunci utama dalam memastikan blog yang dihasilkan sentiasa menepati kualiti untuk pembacaan orang umum. Apa yang ditekankan oleh aku adalah, kebanyakan orang umum di dalam Internet boleh terdiri dari semua pihak lapisan bangsa, umur, keturunan, latar belakang politik dan sebagainya. Kita tidak tahu sama ada pembaca kita datang daripada mana dan bagaimana latar belakangnya dan oleh sebab itu, kita kena menjaga tulisan dan karangan kita supaya sekurang-kurangnya tulisan kita tidak menyinggung ramai pihak.

Untuk itu, aku akan terangkan secara lebih terperinci apakah yang ingin dibawa oleh keempat-empat ciri berkenaan.


KARANGAN YANG BAIK DAN MUDAH DIFAHAMI

Apakah yang dimaksudkan dengan karangan yang baik? Ianya merupakan kombinasi di antara pemilihan bahasa, struktur ayat, jenis pendekatan yang digunakan serta pemilihan material yang diingini oleh pembaca. Mari kita mendalami lagi kombinasi berkenaan.

Sekiranya anda mengarang blog, siapakah sasaran pembaca anda? Adakah ianya rakyat tempatan senegara anda atau pembaca antarabangsa? Ini adalah faktor dalam menentukan pemilihan bahasa yang bakal digunakan di dalam penulisan blog. Seperti blog aku, aku memilih dalam Bahasa Melayu sebab aku mahukan pembaca aku terdiri dari mereka yang senegara dengan aku dan mereka yang memahami bahasa aku juga dialu-alukan. Kalau anda mahu pembaca anda adalah dari golongan antarabangsa anda boleh mempertimbangkan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengantaraan bahasa dalam blog anda.

Struktur ayat merupakan kekunci selepas bahasa, dan ianya tersangat penting. Anda perlu tahu memilih ayat-ayat dan perkataan yang betul dalam setiap artikel anda, supaya artikel anda tidak dipandang remeh oleh pembaca anda. Tak kiralah sama ada anda menggunakan bahasa yang anda suka tetapi apa yang terpenting adalah penggunaan ayat yang mantap serta bijak memilih perkataan yang sesuai adakah kunci utama kekuatan artikel anda.

Sekiranya artikel anda merupakan tindak-balas terhadap sesuatu perkara, atau lebih tepat lagi artikel yang merujuk kepada sesuatu perkara yang baru maka penulisan anda mestilah difokuskan 100% terhadap perkara berkenaan. Jangan campurkan perkara lain di dalam artikel anda kerana ini akan menyebabkan penyampaian anda tidak beberapa jelas, serta kualiti artikel anda akan dipersoalkan. Sebagai contoh, saya menulis mengenai seseorang yang bernama A maka saya akan senaraikan apa yang saya tak suka mengenai A serta nasihat bagaimana A boleh berubah. Jangan bandingkan A dengan B kerana personaliti A memang tak akan sama dengan personaliti B. Begitu juga sekiranya anda menulis mengenai sesebuah produk atau perkhidmatan.

Sebelum anda menaip juga, anda kena tahu apa jenis material yang bakal anda gunakan dalam artikel anda. Sekiranya artikel anda semata-mata idea mungkin tak perlukan material yang spesifik tetapi sekiranya ia berbentuk komentar terhadap perkara-perkara tertentu maka semestinya, material yang bakal digunakan adalah merujuk kepada bahan komentar anda. Pemilihan material yang baik menjadikan artikel anda lebih segar dan lebih berinformasi kepada pembaca anda.


SKOP PENULISAN YANG MENDALAM

Apakah yang dimaksudkan dengan skop yang mendalam? Ianya merupakan teknik bagaimana anda mengumpul semua material sedia ada mengikut apa yang ingin di komentarkan ke dalam satu artikel supaya ianya sentiasa menepati tajuk yang anda sampaikan. Sebagai satu contoh, anda ingin mengarang artikel mengenai masa hadapan bola sepak negara. Apakah material yang sesuai dalam artikel anda? Adakah ianya terdiri daripada fakta-fakta bola sepak? Atau sekadar
cadangan anda sahaja?

Apabila menulis, pastikan yang ianya tidak lari dengan tajuk asal yang anda sendiri berikan untuk artikel anda. Ini amat penting supaya proses penyampaian akan menjadi lebih teliti dengan bahagian-bahagian artikel yang sentiasa menepati skop tajuk anda.


KRITIKAN/PANDANGAN DISAMPAIKAN SECARA TELUS

Sekiranya anda seorang pengkritik, pastikan yang kritikan anda disampaikan dengan jelas dan sempurna. Elakkan dari mengguna ayat-ayat atau perkataan yang kasar dalam kritikan anda. Sebaliknya, gunakanlah ayat yang lembut yang boleh melambangkan anda adalah seorang yang sentiasa tenang. Susun atur dan lentok ayat perlulah kemas agar penyampaian anda jelas apabila dibaca oleh pembaca blog anda.

Dan jangan lupa, setiap kritikan yang diberikan perlulah disertakan dengan cadangan untuk bahan kritikan anda. Sifat pengkritik profesional adalah apabila mereka mengkritik, mereka juga akan memberikan pandangan mereka dan juga, cadangan mereka untuk proses penambah-baikkan yang dirasakan wajar diambil oleh mereka yang dikritik.


TULISAN TIDAK MENYINGGUNG RAMAI PIHAK

Yang ini mungkin terlalu susah untuk dicapai. Sebab itu aku menggunakan perkataan "tidak menyinggung ramai pihak". Apabila kita menulis sesuatu artikel, kemungkinan besar artikel kita tidak disenangi oleh pihak yang lain disebabkan ayat-ayat dan fakta yang kita gunakan. Oleh yang demikian aku menggesa agar anda semua sentiasa menulis di dalam skop yang mendalam untuk mengelakkan lebih ramai lagi pihak yang akan terasa dengan artikel anda.

Memanglah, tak mungkin kita dapat menjaga hati semua pihak dengan artikel kita. Tetapi dalam hal ini, adalah menjadi tanggungjawab seorang bloggers untuk sentiasa memastikan yang artikelnya tidak terlalu menyinggung ramai pihak.

Keempat-empat ciri tersebut memang aku sendiri pun akui yang aku pun tak dapat sampai ke tahap sebegitu terutamanya kalau masuk bab "tulisan yang tidak menyinggung ramai pihak". Walau bagaimanapun, inilah ciri-ciri yang bakal menjadikan artikel anda lebih segar, lebih mantap dan ianya akan mudah diterima oleh pembaca anda.

Baiklah, setakat ini dahulu. InsyaAllah aku akan sambung pulak ke bahagian keemmpat siri ini.

Tiada ulasan: