The Real Torrent Search...powered by GOOGLE

Sabtu, September 22, 2007

Etika Memblog Part 1 : Apakah Tujuan Blog?

Assalamualaikum Semua,

Hari ini, aku merasakan yang aku patut menulis satu benda yang boleh memanfaatkan semua orang, terutamanya orang yang digelar sebagai pemblogger tegar. Mereka ini memblog tanpa mengira waktu, masa, ketika dan juga tanpa mengira keadaan sekeliling mereka. Bermacam-macam benda semuanya masuk di dalam topik blog mereka sama ada dalam bentuk kontekstual, bentuk jasmani, rohani, politik, barangan, teknologi, humor, gambar, video dan sebagainya yang mungkin kalau disenaraikan, akan menjadi satu senarai yang teramat panjang.

Apakah itu blog? Kenapa perlu blog? Sebab apa ramai blogger di dunia Internet sekarang ini? Persoalan tersebut selalu bermain di minda kita. Ada di antara kita ingin memblog, tetapi tiada IDEA tentang apa yang ingin diblogkan sebab tak pasti apa yang patut dikarang. Kadang-kadang ada sesetengah daripada kita ini sampai sanggup copy-and-paste dari blog / artikel orang lain dan menempeknya di dalam blog sendiri. Kerana tidak mempunyai idea dengan apa yang patut ditulis. Untuk bahagian 1 : Apakah Tujuan Blog, aku akan menghuraikan semua persoalan yang timbul di antara kita semua tentang apa, kenapa dan objektif blog ini wujud dalam Internet.


APAKAH ITU BLOG?

Blog, merupakan akronim dari singkatan perkataan Web-Log. Ianya merupakan satu rentetan maklumat secara kronologi tentang apa yang berlaku. Seolah-olah seperti satu logfiles dalam sistem. Tetapi Blog bukanlah satu rentetan yang seperti logfiles, ianya lebih kepada pentas yang menghubungkan seorang penceramah/pemikir bebas untuk bercakap tentang perkara yang mereka lihat di sekeliling kepada pendengar mereka yang berada di bawah pentas. Mereka ini mempunyai pendapat mereka, mengikut kepakaran mereka terhadap kehidupan/teknologi dan menyuarakan pendapat mereka untuk didengar dan dinilai oleh umum. Itulah yang dikatakan sebagai blog, yakni sebagai medium pengantaraan di antara pemikir/pengkritik kepada pendengar/orang umum.


SIAPAKAH YANG DIKATAKAN SEBAGAI SEORANG BLOGGER?

Blogger, merupakan mereka yang sentiasa mempunyai pendapat/pandangan mereka mengikut kepakaran mereka mengenai bidang yang bakal menjadi bahan komentar mereka. Mereka boleh terdiri daripada orang-perseorangan, atau mereka yang sememangnya profesional tak kisahlah apa sahaja latar belakang mereka. Mereka menulis di dalam blog agar pandangan dan luahan hati mereka dapat dibaca oleh segenap masyarakat Internet dan membuat kritikan/pandangan mereka pula terhadap apa yang mereka tulis. Itulah seorang blogger.

Suara-suara mereka, tidak kedengaran di Televisyen mahupun radio tetapi boleh dibaca di blog mereka. Pendapat mereka kadang-kala bernas, kadang-kala tidak boleh dipakai. Apa yang mereka tulis mereka percaya tentang apa yang mereka fikirkan, dan mahukan orang lain pun berpendapat yang sama seperti mereka. Ada kalanya pendapat mereka tidak diterima pakai, ada kalanya mereka dikritik hebat oleh sesetengah pembaca mengenai idea mereka tetapi mereka teruskan juga dengan pendapat mereka kerana mereka yakini itulah yang terbaik.


KENAPA MENGGUNAKAN BLOG SEBAGAI MEDIUM PENGANTARAAN?

Seorang yang ada idea, yang ada pendapat dan kritikan selalu saja mencari jalan bagaimana ingin mendedahkan kritikan dan pendapat mereka. Jika zaman dahulu, seseorang yang mempunyai pesanan atau nasihat berdiri di hadapan orang ramai dan menyampaikan nasihatnya maka pada zaman sekarang seseorang itu hanya perlu menggunakan medium Internet sebagai pengantaraan kepada orang umum. Menggantikan zaman "pentas" yang sedia ada.

Bukan semua orang boleh menjadi seorang blogger yang bagus. Kadang-kadang, mereka ini ada yang tidak sangat pun ingin memblogger Cuma apabila terlihat rakan-rakan atau sesiapa yang terkenal memblogging maka mereka pun teringin nak jadi terkenal. Maka mereka ini sanggup menulis benda yang mereka pun tak faham apa yang mereka tulis. Ada kalanya, sanggup pergi ke blog orang lain dan menciplak karangan orang untuk dipaparkan dalam blog mereka.

Ada juga, seseorang blogger itu hanya tahu memaparkan kisah hidupnya dalam bentuk blogging. Memberitahu kita bagaimana dia bercinta, tidur, makan, sekolah, mandi sampai dia berpeluk dengan kekasihnya pun di ceritakan. Orang seperti ini mereka selalu mengakui yang mereka ini seorang yang menjaga privacy, tetapi secara nyatanya mereka mendedahkan kehidupan mereka yang so-called privacy matters.

Ada sesetengah blogger yang memang tajam tulisannya, tajam kritikannya. Semua tulisannya terselit dengan patah-patah perkataan yang tak patut ditulis dalam karangannya. Mereka ini terlalu sensitif dalam kehidupan mereka dan tidak keterlaluan jika aku gelarkan mereka ini di kalangan yang terlalu taksub dengan apa yang mereka pegang sampai orang lain tidak boleh
membantah cakap mereka.

Apa pun bentuk personaliti seorang blogger yang terpenting adalah DIA, SEORANG BLOGGER adalah orang yang sememangnya mempunyai pendapat dalam bidangnya. Dan pandangannya mengenai apa yang berada di sekelilingnya. Itulah baru boleh digelar sebagai seorang blogger. Bukannya dengan memaparkan kisah hidupnya, atau menciplak artikel orang lain.

InsyaAllah, aku akan sambung pula di bahagian kedua. Selamat membaca :).

Tiada ulasan: