The Real Torrent Search...powered by GOOGLE

Selasa, Oktober 02, 2007

Mereka yang Profesional, tetapi gagal berbahasa Melayu

Assalamualaikum semua, dan selamat pagi kepada seluruh pembaca blog aku.

Hari ini, aku nak menulis mengenai benda yang paling aku resah, fenomena yang agak menakutkan di dalam Malaysia. Iaitu kegagalan golongan profesional untuk bertutur di dalam Bahasa Melayu. Aku resah dengan keadaan yang sebegini disebabkan mereka yang bukanlah calang-calang orang, mereka ini terdiri daripada ahli politik, ahli perniagaan, golongan VIP serta artis ternama. Yang paling memalukan adalah mereka ini dari rumpun bangsa Melayu.

Seperti yang kita sedia maklum, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi kebangsaan. Bahasa yang menyambung kesinambungan bahasa selain Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan lain-lain bahasa di Malaysia. Apakah yang dimaksudkan aku "yang menyambung kesinambungan"? Maknanya bahasa yang paling banyak dituturkan di Malaysia dan juga sebagai bahasa pengantaraan di antara bangsa Melayu, Cina, India, dan sebagainya. Aku tak kata bahawa bahasa selain Bahasa Melayu tidak penting tetapi Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia adalah lambang kesepaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Kekesalan yang berada di benak aku adalah kebanyakan rakyat Malaysia lebih suka bertutur di dalam bahasa Inggeris berbanding Bahasa Malaysia. Alasan? Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa. Kalau kita nak menyebut bahawa Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa maka kita patut menuturkan Bahasa Cina (Mandarin), kerana Bahasa Cina juga merupakan bahasa antarabangsa. Ataupun, kita perlu mempelajari bahasa Jepun, kerana bahasa Jepun juga sama taraf dengan bahasa antarabangsa. Apa yang aku ingin tekankan di sini adalah kegagalan kerajaan yang tidak memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan rakyat. Lihat sahaja rakyat Malaysia, mereka merasakan lebih selesa berbahasa Inggeris dari berbahasa Melayu.

Paling keji adalah di antara mereka adalah terdiri daripada golongan bangsa Melayu. Kalau kaum lain seperti cina, india dan sebagainya sekiranya mereka menggunakan bahasa ibunda mereka, maka mereka terdiri dari golongan yang "berjaya memartabatkan bahasa ibunda". Berlainan dengan situasi bangsa Melayu yang sekarang ini, masih gagal memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan seharian. Kalau golongan ini terdiri dari rakyat biasa mungkin kita tak beberapa hendak peduli tetapi sekiranya yang gagal memartabatkan bahasa Melayu adalah terdiri daripada golongan profesional Melayu sepeti ahli politik, ahli perniagaan dan golongan VIP bagaimana penyakit "kebanggaan kepada bahasa asing" dapat dilunturkan?

Cuba kita dengar di televisyen, berapa ramai ahli politik yang berbahasa Melayu sewaktu ditemu-ramah? Berapa ramai ahli perniagaan yang berkongsi pendapat dalam bahasa Melayu? Dan berapa ramai artis Malaysia yang suka menggunakan slang Bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu? Kadang-kadang, aku terfikir kenapa ini sepatutnya berlaku dalam masyarakat Malaysia sekarang ini? Sia-sia perjuangan kemerdekaan sekiranya tahap penuturan bahasa Melayu masih berada di tahap "merangkak" sedangkan mereka mempunyai peluang untuk mendedahkan Bahasa Melayu kepada dunia luar.

Cuba kita tengok negara kesatuan Eropah. Bahasa Inggeris hanya dituturkan di Britain sahaja. Bila masuk ke sempadan Perancis, Jerman atau negara EU yang lain tidak kedengaran pula Bahasa Inggeris. Yang kedengaran dari pertuturan mereka adalah bahasa ibunda negara mereka sendiri. Aku sendiri kagum melihat mereka. Mereka tak terasa langsung nak memartabatkan bahasa Inggeris di negara mereka walaupun ditemu-ramah oleh wartawan luar. Aku masih ingat lagi rancangan National Geography : Megastructur yang mana dokumentari mereka berkisarkan berkenaan pembinaan Sky Dubai. Salah seorang jurutera kereta kabel dari Switzerland ditemu-ramah oleh wartawan National Geography. Jurutera yang ditemu-ramah menjawab soalan wartawan berkenaan dalam bahasa Swiss. Itu amat mengagumkan aku. Kenapa ahli perniagaan/politik/artis di Malaysia tidak menjawab pertanyaan wartawan luar dalam Bahasa Melayu. Adakah Bahasa Melayu terlalu low-standard untuk digunakan?

Kalau Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa maka gunakanlah Bahasa berkenaan di peringkat antarabangsa. Ini berlainan pula jadinya. Ditemu-ramah oleh wartawan tempatan pun dijawab dengan Bahasa Inggeris. Ini tidak betul. Tak sepatutnya berlaku di dalam Malaysia. Kalau mereka (orang luar, asing) ingin bertanya kepada kita maka kita akan jawab di dalam bahasa kita. Barulah kena. Kalau kita nak minta jawapan mereka maka kita kenalah memahami bahasa mereka pula. Ini barulah adil. Kenapa kita harus berbangga dengan bahasa asing sedangkan negara yang berdekatan dengan negara Britain pun tak mempraktikkan bahasa Inggeris di negara mereka? Inilah apa yang aku gelarkan sebagai "bodoh tak kena gaya".

Sekian sahaja artikel aku kali ini. Kepada rakyat Malaysia, martabatkanlah Bahasa Malaysia. Sebab Bahasa Malaysialah yang boleh menghubungkan kita semua pelbagai kaum sekaligus mengeratkan silaturahim di antara kaum di Malaysia. Sekian.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

realiti yang semakin menjadi realiti